Tuesday, 14 March 2023

22 Tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia: Memori Bersama Almarhum Professor Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan

14 Mac 2001 merupakan tarikh saya mula melaporkan diri sebagai staf akademik (Pensyarah) di Kampus yang terletak di tengah-tengah rimbunan kehijauan, di tebing Sungai Pusu, di Lembah Kebiruan itu.

Kad staf pertama - single lagi masa ini ok
Kad Staf pertama - single lagi ok!

Sempena hari bersejarah peribadi ini, saya menguatkan emosi untuk menukilkan kenangan bersama Almarhum Ayahanda Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. Ya, Almarhum merupakan figura seorang bapa buat kami semua. Kepulangannya ke sisi Rabbul-Izzati sungguh dirasai. Setiap kali kali saya cuba menukilkan sesuatu tentang Almarhum, kolam air mata pasti pecah sehingga kabur pandangan.

Saya ingin berkongsi di sini memori berharga sebagai sebahagian besar ahli keluarga UIAM amnya, dan staf akademik secara khususnya.

Semua staf akademik melalui pengalaman serupa ~ setelah melepasi proses saringan di peringkat Kulliyyah, semua calon akan menghadapi sesi formal interview bersama Rektor pula sebagai proses terakhir. Saya ingat lagi saat itu; debarannya, seram-seram sejuk, kenaling sangat! Sampai tertukar-tukar poin yang dihafaz tentang Misi dan Visi UIAM, IIICE atau"Triple ICE"), Islamic Worldview, Islamization of Knowledge dan macam-macam lagi!

Tiba giliran saya dipanggil ke Bilik Mesyuarat Rektor. Sambil memegang erat kedua tangan yang sejuk membeku itu, saya cuba mengukir senyuman buat panel penemuramah yang terdiri daripada Rektor, Timbalan Rektor Akademik, Ketua Jabatan Sumber Manusia (MSD), Ketua Jabatan Kewangan (Finance Division) dan Dekan Fakulti (Prof Dato' Dr Azmi Omar). Almarhum senyum melihat wajah pucat saya, "Toksoh Kenaling deh, relek2 jah!" Terbeliak mata saya tapi pernyataan pembukaan dari Almarhum yang ringkas dan lucu bunyinya ternyata membuatkan saya beransur-ansur tenang.

Almarhum Prof Kamal meneliti maklumat peribadi saya dan dokumen-dokumen berkaitan.

"You stated here that your Arabic reading, writing and communication are good." Saya angguk-angguk saja sambil tersengih-sengih (dalam hati, mati laaaaa aku!)

Kemudian, Almarhum bangun dari kerusinya lantas ke almari buku tidak jauh di situ. Dipilihnya satu kitab Arabbbbbbb!! Dibukanya helaian tertentu dan kemudiannya disorong kitab tersebut kepada saya untuk dibaca bersama penjelasan. Aduhhhhh! Bab baca ok lagi, tiba bab nak menjelaskan, tergagap-gagap lah!

Itu sahaja sesi interview saya :) 

Dan, setiap kali bertemu, Almarhum pasti 'kkecek kelate' dengan saya! Nampak sangat kat dahi ni cop Oghe Kelate pure, speaking pun bau budu, hehehehehe!

Kad Staf pertama Dr Asyraf
Sebagai ketua pentadbiran UIAM, Almarhum Prof sentiasa menggalakkan kami untuk meningkatkan kualiti diri serta banyak mempermudahkan kami. 6 bulan kemudiannya, saya dan suami dihantar menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.

Untuk pengetahuan, suami telah menyertai Kulliyyah sebagai Tutor 1 tahun awal. Maka, it was timely for him to move forward. Beliau telah memohon ke Program Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi, Perbankan dan Kewangan Islam di Universiti Loughborough, UK sebelum saya menyertai Kulliyyah lagi (sebelum berkahwin lagi!). Memandangkan saya akan mengikut suami, Tuan Dekan (Prof Dato Dr Azmi) menyarankan - alang-alang berada di UK, agar saya terus membuat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D). Alhamdulillah, urusan permohonan cuti tanpa gaji, 'study leave dari UIAM dan biasiswa JPA-Skim Latihan Bumiputera (SLAB) telah dipermudahkan oleh pihak Kulliyyah dan MSD dalam masa lebih kurang 2 bulan. Ringkasnya 3 urusan saya dipermudahkan, alhamdulillah:

  1. Cuti tanpa gaji 6 bulan saya kerana mengikut suami: Oktober 2001-Mac 2002
  2. Cuti Belajar (PhD): 1 April 2002-31 March 2005
  3. Biasiswa SLAB: Untuk tempoh cuti belajar di atas

Manakala, suami sememangnya di bawah skim yang sama untuk kursus Sarjananya yang bermula 1 Oktober 2001 hingga 30 September 2002.

Pada mulanya, saya telah mendapat tawaran dari Universiti Manchester untuk kemasukan bulan April 2002. Saya ingat antara geng sama adalah Prof. Murni (KICT). Akan tetapi, pada Januari 2002, saya telah mengalami pendarahan yang mengancam kandungan kedua saya. Kandungan pertama keguguran (17 September 2001) seminggu sebelum berlepas ke UK. Maka, saya telah memohon untuk menangguhkan cuti belajar ke kemasukan seterusnya, iaitu Oktober 2002. Saya menyambung cuti tanpa gaji selama 6 bulan lagi.

Beberapa ketika kemudiannya, pihak JPA telah menyenaraihitamkan beberapa Universiti UK termasuklah Universiti Manchester. Ini adalah atas faktor menjaga keselamatan warganegara Malaysia dengan mengelakkan mereka ke kawasan yang padat dengan kaum Islam, di mana pihak kerajaan UK amat berhati-hati, campur pula dengan ketegangan kaum & agama hasil daripada "Islamphobia" selepas Peristiwa rempuhan WTC pada 9-11 (11 September 2001). Oleh itu, saya terpaksalah mencari alternatif universiti untuk memulai Ph.D pada 1 Oktober 2002. Pengalaman ini, saya ada nukilkan di link-link di nota di bawah.

Selepas tamat semester ke-2 pengajian, suami menumpukan sepenuh perhatian menyiapkan 'dissertation' Sarjananya. Saya ingat masa itu sekitar bulan Julai-Ogos 2002. Ketika ini, pihak Kerajaan Malaysia telah mengetatkan syarat-syarat pelajar & keluarga ke luar negara. Yang mana dilaporkan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang disyaki mengancam keselamatan negara, akan dihantar pulang ke tanahair. Kami turut tersenarai.

Pihak UIAM dan JPA telah mengarahkan kami agar segera pulang. Ini akan mengakibatkan kami tidak dapat menghabiskan program Sarjana dan PhD. Suami menghubungi pihak UIAM dan JPA, merayu agar kami dikecualikan dengan memberi bukti-bukti menunjukkan yang kami menumpukan sepenuh perhatian pada kerja-kerja kajian malah suami menjadi pelajar terbaik mendapat distinction dalam peperiksaannya. Jadi langsung tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti yang menggugat keselamatn negara.

Pihak UIAM yang memahami telah cuba sedaya-upaya berurusan dengan pihak JPA. Almarhum Prof Kamal lah yang memainkan peranan penting di saat genting ini. Malangnya, menemui jalan buntu. Kami menerima panggilan dari Almarhum.

"Asyraf, we have done all what we could, but even JPA can't do anything."

"You see, your name is in Bukit Aman's list. As long as your name is listed, nobody can interfere. All must return to Malaysia!"

"The only person who could possibly help you is the PM!"

"Why don't you seek your father's help to reach the PM? This is beyond our power. Only PM can deal with Bukit Aman!"

Mendengar perbualan di atas, saya menjeling tajam suami. Saya tahu, selagi boleh dia tidak akan melibatkan Papa apalagi menggunakan kedudukan Papa sebagai Setiausaha Politik PM ketika itu.

Tahun-tahun sebelumnya, di era Reformasi, suami punya sedikit 'khilaf' dengan Papa dan Mi dek keterlibatan langsungnya dalam gerakan persatuan pelajar yang lantang mengkritik pihak Kerajaan ketika itu. Kemuncaknya, PM membatalkan kehadirannya ke Majlis Perkahwinan kami kerana sedikit 'berkecil hati' disebabkan suami berkongsi pentas yang sama dengan pihak Pembangkang, mengkritik penyalahgunaan 'ISA' seminggu sebelum walimah. 'Daring' bukan?

Setelah mempertimbangkan semasak-masaknya, suami akhirnya menghantar surat rayuan kepada PM yakni Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui Papa. Ketika menyerahkan surat rayuan tersebut;

"Dato' Seri masih berkecil hati dengan Asyraf?"

"Sedangkan mereka yang terang-terangan menentang saya, saya tak pernah halang bab belajar; apalagi anak you!"

"Takpa, nanti saya arahkan Dato' Bad buat surat ke Bukit Aman. Asyraf teruskan belajar, tak perlu balik!"

Tak lama beberapa hari kemudiannya, Almarhum Prof Kamal menalifon membawa khabar gembira serta mengingatkan suami agar fokus menyiapkan disertasi sebelum tamat tempoh pengajian Sarjana. Cuma, biasiswa kami yang telah diberhentikan akan mengambil masa untuk diaktifkan semula. Saya masih ingat ketika ini, kami terpaksa mengeluarkan gaji kami di Malaysia yang nilainya amat kecil bila ditukar ke matawang Pound. Sedih sangat. Masa ini nilai pertukaran RM kepada pound adalah 7.5 

Di saat inilah, ramai sahabat-sahabat MISG-ABIM dari segenap pelusuk UK datang menziarahi, memberi kata-kata semangat dan juga sumbangan kewangan. 

"Jangan bersedih, jangan fikir bukan-bukan"

"Fokus kepada menyiapkan dissertasi secepat mungkin"

"Enjoy saat-saat menerima cahayamata yang akan lahir tidak lama lagi"

_________________________________________________

Saya lupa menceritakan satu lagi peranan besar pihak UIAM terutama Almarhum Prof Kamal Hassan terhadap urusan pembelajaran kami di peringkat PhD.

Ketika di penghujung Semester ke-2 pengajian Sarjana suami, yakni sebelum peristiwa dipanggil pulang serta-merta di atas, suami telah dipermudahkan dalam permohonannya untuk terus menyambung ke peringkat PhD sejurus tamat pengajian Sarjana tanpa perlu pulang ke tanahair. Antara pertimbangan pihak UIAM adalah kerana saya yang akan memulai PhD tidak lama lagi. Jadi amat tidak logik untuk suami dipanggil pulang meninggalkan saya dan bakal cahayamata yang akan lahir tidak lama lagi.

Kebetulan, beberapa 'Top Gun' UIAM sedang mengadakan lawatan ke staf-staf akademik yang bercuti belajar di UK. Saya ingat lagi, sesi interview khas yang diketuai Prof Dr Abdul Rahim (Ketua Jabatan Perakaunan, KENMS) diadakan dalam suasana yang amat santai di kediaman Prof Dr Noraini di Guilford, Surrey.

Ammar 14 hari ketika berpindah ke 21 Hudson St
Selepas suami menyerahkan dissertasi Sarjana, kami menumpukan perhatian mengemas rumah untuk berpindah ke rumah sewa baru yang lebih selesa dan murah di samping persiapan menerima kelahiran anak pertama yang lahir pada tanggal 21 Ogos 2002 pada jam 6.06pagi di General Hospital, Leicester. 

Pada hari ke-40, saya & suami sama-sama mendaftar sebagai calon PhD di Jabatan, Fakulti dan Universiti yang sama, tapi berlainan Penyelia.

Bermula lah rutin kami sebagai pelajar dan ibubapa yang bertatih. Kehadiran penyeri keluarga kecil ini sebenarnya menjadikan kehidupan suram dan sepi sebagai calon PhD mampu dilalui dengan penuh tega. Apalagi dengan keadaan kewangan yang cukup-cukup sahaja. Benarlah, anak merupakan qurratu 'ain ~ penyejuk mata & penenang jiwa. Hanya pada bulan Disember 2002, biasiswa kami diaktifkan kembali menjadikan kehidupan beransur-ansur stabil.

Bersama Almarhum selepas selesai prog IEP 2003

Atas rasa kebertanggungjawapan dan kembali berbudi kepada UIAM dan Negara, kami mengambil inspirasi dari figura-figura yang memberi impak langsung mahupun tidak langsung kepada pembentukan pemikiran, 'worldview' dan semangat juang kami yang konsisten yang menjadi prinsip hidup kami hingga ke hari ini yakni~ "hidup kami milik ummah"; Antaranya, tidak lain dan tidak bukan adalah Almarhum Prof Kamal Hassan.

Insaf dengan taklifan di bahu, kami berdua mensasarkan untuk menghabiskan tempoh cuti belajar dalam masa yang ditetapkan di dalam Dokumen Perjanjian SLAB, iaitu selama 3 tahun yang tamat pada 31 September 2005. Alhamdulillah, Allah SWT mengizinkan kami berjaya mendapat 'GOT' ~ graduate on time tanpa perlu memohon lanjutan cuti belajar. 

Almarhum & rombongan bertandang ke rumah kami

Penghujung Mei 2005, suami menyerahkan tesisnya hasil kerja keras selama 2 tahun setengah. Sesi 'viva' pada 8 Ogos 2005 di mana dianugerahkan lulus tanpa sebarang pembetulan (pass without correction). Pada hari yang sama- iaitu hari 'viva' suami, saya juga menyerahkan tesis yang lengkap. Bila tarikh viva, saya tak hirau sangat; yang penting SIAP! Selepas tu, boleh mengemas kotak-kotak dengan giatnya di samping menunggu kelahiran cahayamata ke-2 pada 29 Ogos 2005. Ya, kami akhirnya kembali ke tanahair pada 25 September 2005 dengan membawa pulang 2 PhD dan 2 orang cahayamata; Ammar & Affaf. Adapun sesi viva saya telah diadakan pada hari ke-13 selepas kelahiran Affaf.


Pada 1 Oktober 2005, kami berdua melapor diri di UIAM selepas 4 tahun berkelana Ilmu di bumi Inggeris. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

Best betul makan bersila sambil cicah budu :)
Saya masih ingat, ada ketikanya apabila terserempak dengan Almarhum di kampus selepas suami meletak jawatan pada tahun 2008, Almarhum pasti bertanyakan keadaan suami.

"It is one of our greatest losses" 

"I actually wish to project him to be my successor"

"I guess he is far needed by the Nation!"

"Please tell him that he will always have our support and  be in our prayers..."

Di hadapan rumah kami, 21 Hudson Street, Loughborough, Leics UK
Saya hanya mampu tersenyum. Pada tahun-tahun terawal selepas suami meninggalkan UIAM, perasaan saya selalu bercampur-aduk antara sedih dan sesal. Kerana bagi saya, dia merupakan sahabat rapat yang berfikiran, bekerja dan berkongsi bidang yang sama. Bercakap 'bahasa' yang sama. Allah SWT memberi peluang kami saling bergantungan kepada satu sama lain tanpa ada orang lain selama 4 tahun solid dan kemudiannya sama-sama melebarkan potensi dalam bidang akademik selama 2 tahun; sebelum mengambil pinjaman ini utk diletakkan ke posisi yang sentiasa harus memikirkan tentang mad'u yang pelbagai lagi kompleks. Saya reda sepenuhnya.

Terima kasih, Ayahanda Prof Dr Kamal Hassan...
Terima kasih atas kepercayaan,

Terima kasih atas harapan,

Terima kasih kerana meletakkan piawaian tinggi,

Terima kasih atas qudwah hasanah - sebagai Ilmuan, Cendikiawan dan juga Negarawan.

Kami akan meneruskan misi dakwah serta perjuangan memartabatkan Ilmu, demi Syiar dan Syariat Islam selagi dibukakan peluang dan dilorongkan jalan oleh Allah SWT, inshaAllah.

Selamat berehat di Taman syurga bersama para muttaqin dan solihin,

Semoga kita diizinkan bertemu lagi di antara Taman-Taman Syurga di sana nanti, Allahumma aminnnn...

Salam penuh takzim yang penuh kerinduan dari anakanda berdua.

_____________________________________________________

Nota:

https://irwaniscupoftea.blogspot.com/2018/03/kenangan-dari-spm-ke-pekerjaan-saya.html

https://irwaniscupoftea.blogspot.com/2012/08/selamat-ulangtahun-ke-7-anakanda-affaf.html

https://irwaniscupoftea.blogspot.com/2010/09/my-journey-to-motherhood-part-3.html

https://irwaniscupoftea.blogspot.com/2009/09/islamization-of-human-knowledge-by-prof.html